ASMA AL-HUSNA

Saturday, May 9, 2009

PERANAN IBU BAPA UNTUK MEMBANTU ANAK-ANAK MEREKA MENCAPAI KEJAYAAN DALAM PELAJARAN

Memberi pendidikan yang sebaik mungkin merupakan antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh ibu bapa terhadap anak-anak. Lantaran itu, mereka perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin agar masa hadapan anak-anak tidak menjadi gelap. Kegagalan ibu bapa dalam memikul tanggungjawab tersebut bukan sahaja menyebabkan anak-anak terpaksa menempuh hari muka yang gelap dan penuh dengan kepayahan, malahan mereka turut dihantui perasaan bersalah.
Bagi membantu anak-anak berjaya dalam pelajaran, ibu bapa perlu membina keyakinan dalam diri anak-anak akan kemampuan mereka untuk mencipta kejayaan demi kejayaan. Hasilnya, anak-anak akan mempunyai keinginan dan semangat juang yang tinggi untuk berjaya dalam pelajaran, lebih-lebih lagi jika mendapat dorongan dan sokongan yang padu daripada ibu bapa pada setiap masa. Sokongan dan dorongan daripada ibu bapa amat penting diberikan kepada anak-anak agar mereka sentiasa mempunyai keinginan untuk memburu kejayaan dalam pelajaran walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan. Demi melihat anak-anak memperoleh kejayaan, ibu bapa juga perlu menyediakan kemudahan-kemudahan belajar yang diperlukan oleh anak-anak. Kemudahan ini merangkumi penyediaan pelbagai jenis bahan bacaan dan bahan rujukan yang diperlukan oleh anak-anak untuk mempermudah dan melancarkan proses pembelajaran mereka. Hasil penyemaian budaya membaca oleh ibu bapa dalam diri anak-anak pula akan menyemai minat mereka untuk meluaskan pembacaan, sekali gus meningkatkan ilmu yang boleh membantu mereka mencapai kejayaan dalam pelajaran.
Keprihatianan ibu bapa terhadap kepentingan menyediakan tempat belajar yang selesa amat penting dalam melahirkan minat anak-anak untuk belajar dan mengulang kaji palajaran pada setiap masa. Kegigihan anak-anak dalam mengulang kaji pelajaran menjadi penyumbang utama kejayaan dalam pelajaran, lebih-lebih lagi hasil bimbingan ibu bapa dalam menguruskan waktu belajar dengan lebih efisien. Setiap masa yang terluang akan dimanfaatkan dengan sebaik yang mungkin oleh anak-anak untuk menimba ilmu, seterusnya mencapai kejayaan dalam pelajaran.