ASMA AL-HUSNA

Monday, June 8, 2009

SALAHKAH REMAJA SEKOLAH BERCINTA?




" Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghina diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan kudrat, Tetapi membangkitkan semangat."-HAMKA.



Berbicara tentang cinta, tentunya tidak lepas daripada perbincangan tentang cinta monyet yang banyak melanda remaja sekolah masa ini. Persoalan yang timbul, salah besarkah sekolah jika membiarkan diri mereka dilamun cinta? Kebanyakan mereka akan cuba meyakinkan diri diri sendiri atau pihak lain, bahawa cinta tidak akan sama sekali mengganggu pelajaran mereka. Malah, mereka megah menyatakan bahawa kehadiran orang tersayang membawa mereka kepada kehidupan yang lebih bererti dan lebih berazam untuk belajar. tidak kurang yang yakin sungguh bahawa mereka dapat mengawal diri daripada terjerumus ke kencah maksiat.



Persoalan menarik ini boleh dikupas daripada beberapa aspek. Pertama, memahami hakikat bahawa cinta adalah sebahagian daripada fitrah insan yang dianugerahkan oleh Allah. Malah, orang yang benci akan cinta boleh dianggap sebagai tidak normal. Dari sudut psikologi pula, cinta dilihat dapat menyatukan dua individu berlainan jantina dan latar belakang yang berbeza. Apa tidaknya, cinta menjadi pengalaman yang mengasyikkan, mengkhayalkan dan menyeronokkan. Sewaktu dalam percintaan, minda terbayang hanya yang terbaik sahaja tentang kekasihnya. Pasangan dilihat dapat memenuhi segala hasrat dan impian diri, lantas bangkit perasaan untuk sentiasa berdamping dengan si kekasih. Maka ramailah rmaja, termasuk pelajar sekolah yang seawal tingkatan satu lagi sudah berjinak-jinak bermain cinta.


Kedua, adakah benar cinta itu dapat memberikan semangat untuk belajar dan untuk perkara-perkara yang lain? Atau, adakah itu hanyalah sekadar alasan untuk remaja 'menghalalkan' apa yang sedang mereka 'perjuangkan'? amat sukar untuk mempercayai bahawa muda mudi tidak mudah terganggu konsentrasi belajar sedangkan banyak masa terisi dengan membayangkan wajah orang yang dicintai dan mengkhyalkan untuk bersama-sama dengannya. Walaupun memang ada pelajar yang memang tetap pandai belajar meskipun sibuk bercinta, itu langsung tidak membuktikan cinta itu tidak mengganggu pelajarannya. Tentunya jika tidak terjebak dengan percintaan, minda, emosi dan kepandaian pelajar itu dapat ditumpukan lebih kepada pelajarannya.


Cinta yang tertinggi dalam kehidupan manusia ialah cinta kepada Allah. Cinta sejati ini mendorong mendorong manusia mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Kemanisan iman dikecapi melalui ketaatan kepada semua semua ajaran Rasulullah s.a.w. diriwayatkan daripada Anas r.a. katanya: nabi s.a.w. bersabda: “Tiga perkara, jika terdapat dalam diri seseorang, ia akan mendapat kemanisan iman: seorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih dari segala-galanya, orang yang mencintai seseorang lain hanya kerana Allah, dan orang yang tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran, sebagaimana dia benci dimasukkan ke dalam api neraka.”

Cinta kepada Allah dan Rasul tidak menghalang seseorang untuk mencintai sesama manusia, tetapi cinta itu mestilah dipelihara agar tidak melanggar nilai-nilai agama. Mencintai seseorang bukan berlandaskan nafsu, rupa paras, darjat dan harta. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Cinta kamu terhadap sesuatu menyebabkan kamu buta dan tuli” (Riwayat Ahamd dan Abu Daud). Kenapa cinta menjadikan manusia buta dan tuli? Cinta tidak penah buta, tetapi orang yang bercinta itu yang buta kerana tidak tahu mengurus perasaan cintanya.

Firman Allah s.w.t. bermaksud, “Dihiaskan indah kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan, anak-pinak, harta benda yang banyak, berpikul-pikul dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semua itu adalah esenangan hidup di dunia. Dan ingatlah, pada sisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya (syurga).”-Surah Al Imran:14)

Mengapa terlalu mudah sangat remaja sekolah jatuh cinta pada seseorang? Perasaan itu datang pada bila-bila masa sahaja dan tidak semestinya dengan orang yang mereka kenal. Biasanya, perasaan cinta itu muncul daripada pandang pertama. Inilah yang biasanya berlaku dan yang dipandang adalah wajah seseorang, bukan keperibadiannya. Ada pula cinta yang bermula daripada persahabatan biasa, kemudian berubah menjadi cinta. Benarlah kata sesetengah ahli psikologi, tidak akan ada persahabatan bagi individu berlainan jantina. Pada mulanya kawan biasa-biasa sahaja, sama-sama berbincang soal pelajaran, tetapi lama kelamaan berubah menjadi cinta. Adakah itu suatu nikmat atau suatu bala? Ahli psikologi ada menerangkan bahawa sejenis hormon akan dirembeskan oleh badan orang yang dilamun cinta. Malangnya hormon ini akan menjadikan orang itu menjadi bodoh. Lalu tidak peliklah andai kita mendengar atau terbaca kisah-kisah seperti: utamakan cinta dari segala-galanya, bunuh diri kerana cinta, jual harta benda dan maruah diri kerana cinta, menipu keluarga, guru dan berhabisan wang ringgit demi cinta dan banyak lagi. Yang peliknya, orang yang bodoh itu tidak sedikit pun merasa apa-apa, semuanya jadi indah, hanya kerana ‘aku’ sudah jatuh cinta!!!

Para pelajar sewajarnya menyedari bahawa amat sukar memelihara diri daripada mengikut hawa nafsu, bila terjebak dalam fantasi cinta. Banyak kemungkaran dan dosa yang berlaku semasa cinta karut marut ini terjalin. Masakan tidak, remaja tentunya berusaha bermati-matian supaya kekasih tetap mencintainya. Maka ramai yang tidak segan silu lagi mengungkapkan kata-kata yang mengghairahkan, atau berjumpa (dating) serta berutus-utus surat yang sarat dengan pujuk rayu yang menggoda. Percintaan seperti ini hanyalah merupakan pintu kepada zina. Sedangkan Allah membuat peraturan mengenai pergaulan lelaki dan wanita iaitu hendaklah mereka menutup aurat dan menundukkan atau menjaga pandangan daripada melihat sesuatu yang tidak halal. Secara jujurnya, memang tidak ada alasan yang kuat menyatakan percintaan itu bebas daripada perzinaan. Sedangkan dipandang sahaja suruh tunduk, inikan pula kalau memang sengaja berjumpa di luar sekolah atau asrama. Tersangat mudah bagi syaitan menusuk masuk ke sanubari orang yang sedang khayal dek percintaan ini.

Akhirnya, wahai remaja, yakinilah kepada janji Allah: lelaki yang beriman adalah untuk perempuan yang beriman, begitulah sebaliknya. Berjihadlah meningkatkan iman dan taqwa anda. Jadilah remaja yang soleh, kelak Allah akan menganugerahkan ‘seseorang’ yang terbaik untuk anda pada masa yang lebih sesuai. Sebarkan cinta anda meluas kepada semua orang di sekeliling anda, cinta kepada ibu bapa, keluarga, masyarakat dan negara anda, sebagaimana yang disarankan oleh pakar motivasi tempatan Dr. HM Tuah Iskandar AlHaj: “2 tips untuk bercinta dalam istilah yang bijaksana ialah: pertama, tatkala jatuh cinta, cepat-cepat letakkan dia pada kedudukan yang kelima selepas cinta kepada Allah, kepada nabi, kepada ibu bapa dan kepada ilmu. Kedua, dapatkan ilmu bercinta dari buku motivasi berteraskan agama, bukan dengan terlalu banyak mendengar lagu jiwa dan menonton filem cinta”. Selain itu remaja, pertahankan jati diri dan maruah anda, anda tidak mudah goyah oleh gula-gula cinta. Amalkan sahaja sikap just a friend dan tidak lebih dari itu. Bergaullah dengan ramai orang untuk mencari ilmu, pengalaman dan kemahiran sosial kerana bertumpu hanya pada ‘seorang’ sebenarnya menyempitkan ruang pemikiran dan kematangan anda.