ASMA AL-HUSNA

Sunday, May 10, 2009

CIRI-CIRI SEORANG GURU YANG CEMERLANG

Kerjaya sebagai seorang guru sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat terutama masyarakat yang terdahulu. Hal ini demikian kerana guru-guru memainkan peranan yang besar dalam melahirkan generasi yang berilmu dan membentuk para pelajar yang berperibadi mulia. Keberkesanan para guru dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik dengan cemerlang akan melahirkan generasi yang mampu untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara. Lantaran tanggungjawab yang berta perlu dipikul oleh mereka, mereka perlu mempunyai mina yang mendalam terhadap profesien perguruan. Hal ini amat penting kerana melalui minat yang lahir dari hati yang murni akan mendorong mereka untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaik yang mungkin, bukannya dengan sambil lewa atau sekadar untuk mendapatkan gaji semata-mata.

Setiap guru terpaksa berhadapan dengan para pelajar yang datang daripada latar keluarga dan pelbagai kerenah yang berbeza. Oleh sebab itu, kesabaran yang tinggi perlu ada pada setiap guru agar mereka dapat menghadapi dan menangani segala kerenah pelajar dengan sabar. Kewujudan sifat ini menyebabkan mereka tidak mudah melenting apabila berhadapan dengan pelajar yang bermasalah. Sebaliknya, mereka bijak berkomunikasi dengan para pelajar, seklai gus mendorong para pelajar memahami tanggungjawab guru-guru. Hakikatnya, pelajar akan menghormati guru-guru yang sentiasa peka dan prihatin akan permasalahan mereka. Hasilnya, segala arahan guru akan dipatuhi tanpa sebarang bantahan. Mereka juga akan memberikan kerjasama demi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Bukannya suatu tugas yang mudah untuk mengawal kelas yang mengandungi pelajar yang mempunyai pelbagai kerenah. Sehubungan itu, setiap guru perlu tahu bagaimana hendak mengawal kelas dan para pelajar. Hal ini amat penting agar para pelajar terutama pelajar yang bermasalah tidak memijak kepala guru dengan sewenang-wenangnya. Persefahaman yang wujud antara guru dengan pelajar akan melancarkan prose pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, lebih-lebih lagi jika guru bersikap kreatif dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran supaya para pelajar tidak mudah berasa bosan. Sebaliknya, mereka lebih mudah memberi tumpuan terhadap pengajaran guru di dalam kelas.

Saturday, May 9, 2009

PERANAN IBU BAPA UNTUK MEMBANTU ANAK-ANAK MEREKA MENCAPAI KEJAYAAN DALAM PELAJARAN

Memberi pendidikan yang sebaik mungkin merupakan antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh ibu bapa terhadap anak-anak. Lantaran itu, mereka perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin agar masa hadapan anak-anak tidak menjadi gelap. Kegagalan ibu bapa dalam memikul tanggungjawab tersebut bukan sahaja menyebabkan anak-anak terpaksa menempuh hari muka yang gelap dan penuh dengan kepayahan, malahan mereka turut dihantui perasaan bersalah.
Bagi membantu anak-anak berjaya dalam pelajaran, ibu bapa perlu membina keyakinan dalam diri anak-anak akan kemampuan mereka untuk mencipta kejayaan demi kejayaan. Hasilnya, anak-anak akan mempunyai keinginan dan semangat juang yang tinggi untuk berjaya dalam pelajaran, lebih-lebih lagi jika mendapat dorongan dan sokongan yang padu daripada ibu bapa pada setiap masa. Sokongan dan dorongan daripada ibu bapa amat penting diberikan kepada anak-anak agar mereka sentiasa mempunyai keinginan untuk memburu kejayaan dalam pelajaran walaupun terpaksa menempuh pelbagai halangan. Demi melihat anak-anak memperoleh kejayaan, ibu bapa juga perlu menyediakan kemudahan-kemudahan belajar yang diperlukan oleh anak-anak. Kemudahan ini merangkumi penyediaan pelbagai jenis bahan bacaan dan bahan rujukan yang diperlukan oleh anak-anak untuk mempermudah dan melancarkan proses pembelajaran mereka. Hasil penyemaian budaya membaca oleh ibu bapa dalam diri anak-anak pula akan menyemai minat mereka untuk meluaskan pembacaan, sekali gus meningkatkan ilmu yang boleh membantu mereka mencapai kejayaan dalam pelajaran.
Keprihatianan ibu bapa terhadap kepentingan menyediakan tempat belajar yang selesa amat penting dalam melahirkan minat anak-anak untuk belajar dan mengulang kaji palajaran pada setiap masa. Kegigihan anak-anak dalam mengulang kaji pelajaran menjadi penyumbang utama kejayaan dalam pelajaran, lebih-lebih lagi hasil bimbingan ibu bapa dalam menguruskan waktu belajar dengan lebih efisien. Setiap masa yang terluang akan dimanfaatkan dengan sebaik yang mungkin oleh anak-anak untuk menimba ilmu, seterusnya mencapai kejayaan dalam pelajaran.