ASMA AL-HUSNA

Sunday, July 25, 2010

CARA MENAJAMNKAN IMAGINASI ANDA...

Imaginasi adalah bayangan minda.



Setiap orang ada cara tersendiri ketika berimaginasi. Ada yang suka membayangkan gambar pegun, membayangkan sesuatu peristiwa seperti wayang gambar atau dalam bentuk video. Ada juga orang suka berimaginasi dalam bentuk pergerakan animasi – macam cerita katun yang kita selalu tengok kat tv.


Jika anda sedang mencari-cari cara 4 nak menajamkan imaginasi, berikut adalah dua cara yang saya cadangkan untuk Anda:


  • Bayangkan selalu kehidupan Anda di masa hadapan seperti satu cerita.


Membayangkan sesuatu dalam bentuk video bergerak dengan penuh minat adalah teknik untuk melatih menajamkan imaginasi. Anda akan jadi terbiasa mengimajinasikan sesuatu hingga mampu memasukkan elemen bunyi, sentuhan, rasa, emosi dan suasana persekitarannya ketika itu.


Anda akan mampu merasai respon dari kelima-lima deria Anda, sedangkan itu hanya di dalam imaginasi Anda sahaja. Syaratnya, imaginasikan sejelas mungkin, bayangkan betul-betul, seolah-olah ia sedang berlaku. Ginilah caranya untuk kita melatih minda kita berimaginasi.


Lebih jelas bayangan imaginasi Anda, lebih cepat matlamat Anda direalisasikan sebab minda separa sedar Anda akan faham sepenuhnya apa yang Anda mahukan. Iamginasi adalah cara untuk kita mempengaruhi minda separa sedar kita lalu memanfaatkan kuasanya untuk menenukan kita dengan apa saja yang kita mahukan, termasuk mencapai kejayaan.


  • Lihat sesuatu benda seolah-olah benda tu pandai ‘transfrom’ sendiri atau Anda mengubahnya kepada bentuk lain.


Untuk selalu berlatih teknik ni, minda Anda kena jadi sedikit kebudak-budakan supaya senang menjadi kreatif dan inovatif. Bebudak adalah golongan manusia yang tinggi imaginasinya sebab mereka suka membayangkan sesuatu ketika sedang bermain. Remaja dan golongan dewasa tak berapa suka membayangkan sesuatu yang bersifat kebudak-budakan sebab emosi mereka lebih banyak mengarah kepada keseriusan, no fun at all.


Sebagai permulaan, hampirkan diri Anda dengan kanak-kanak. Luangkan sedikit masa bermain dengan mereka. Hepikan diri melihat telatah mereka. Kesannya Anda akan mudah berimaginasi sebab minda Anda ‘terjangkit’ gelombang minda kanak-kanak yang Anda hampiri. Imaginasi Anda akan menjadi semakin tajam, makin jelas.


Jika anda tak berapa suka berdampingan dengan kanak-kanak, baca banyak buku fantasi, novel fantasi atau banyakkan menonton filem sains fiksyen sebab kebanyakan daripada media hiburan jenis tu terhasil daripada imaginasi. Lebih kerap Anda menontoh filem-filem sebegini atau kerap membaca buku-buku cerita fiksyen dalam bentuk sebegini, imaginasi Anda akan menjadi semakin tajam. Anda akan cepat membayangkan sesuatu.


Kebanyakan orang, imaginasi mereka tumpul sebab minda mereka lebih mengarah kepada keseriusan. Mereka kurang suka berimaginasi, sebab lebih suka sesuatu yang realistik dan ‘tangible’. Jika Anda nak membina imaginasi cemerlang Anda kena keluar dari sikap camtu. Tinggalkan.


Harapan saya, moga agar tips ini dapat menjadi panduan buat Anda dalam usaha membina imaginasi.

PENTINGNYA GENERASI MUDA MENYAYANGI GENERASI TUA




Generasi bermaksud kalangan individu yang lahir pada waktu yang lebih kurang sama. Ada dua generasi yang disebutkan dalam tajuk syarahan ini. Muda ialah mereka yang masih remaja. Tua pula bermaksud sudah berumur, sudah lanjut usia ataupun sudah lama hidup, kira-kira dalam lingkungan usia 50 atau 60 tahun ke atas. Istilah kini menyebut golongan ini sebagai warga emas.




Memang perlu generasi muda menghormati generasi yang lebih tua sebagai tanda hendak mengenang jasa dan membalas budi. Beginilah caranya hendak membalas pengorbana orang tua yang telah membesar, mendidik, mengasuh dan memberi tunjuk ajar kepada kita.



Warga tua akan berasa lebih bersemangat untuk terus aktif jika mereka dihormati dan dihargai. Ertinya, biarlah mereka tinggal bersama-sama dengan anak-anak menantu. Mereka akan berasa gembira, seronok, tidak berasa kesepian dan keterasingan.




Warga generasi tua itu perlu didampingi sepanjang masa kerana mereka sebenarnya menjadi sumber ilmu dan pengalaman. Kalau diberi perhatian dan disayangi, sudah tentu mereka tidak akan keberatan hendak menceritakan pengalaman pahit-maung mereka ketika usia masih muda. Pengalaman lama itu amat berguna kepada generasi muda demi perjuanagan masa hadapan yang lebih mencabar.



Sikap menyayangi generasi tua dapat merapatkan jurang generasi kedua-duanya. Akhirnya, terpupuk semangat silaturrahim dan muhibah yang sekaligus dapat mengukuhkan institusi kekeluargaan. Beginilah caranya generasi muda dapat mengenal pasti jurai keturunan masing-masing hingga sampai beberapa keturunan.

Sunday, July 18, 2010

OTAK 2 BELAH....

Roger Sperry dan Robert Orntein, pengkaji-pengkaji dari Institut Teknologi California yang telah memenangi hadiah Nobel mengemukakan bahawa otak kita boleh dibahagikan kepada hemisfera kiri dan kanan. Hemisfera-hemisfera ini lebih popular digelar sebagai otak kiri dan otak kanan.


Kedua-dua hemisfera otak disambungkan dengan satu rangkaian lebih kurang 300 juta fiber saraf yang kompleks yang dipanggil korpus kalosum. Dalam kajian Sperry dan rakan-rakannya, karpus kalosum pesakit telah diputuskan melalui satu pembedahan. Tanpa pertalian saraf, Sperry mendapati setiap otak berfungsi secara berasingan dan tidak terdapat koordinasi antara fungsi-fungsi mereka. Ini dapat dilihat apabila kedua-dua tangan pesakit berebut untuk respons kepada satu tugas yang diberi. Dapat disimpulkan bahawa korpus kalosum membolehkan satu otak berkomunikasi dan berinteraksi dengan otak yang sebelah lagi.


Bagaimanakah kita mengetahui tangan kiri dikawal oleh otak kanan dan tangan kanan dikawal oleh otak kiri? Kes orang yang mengalami kecederaan otak diteliti. Sekiranya bahagian kiri otak mendapat kecederaan, didapati kesemua anggota badan di sebelah kanan akan mengalami paralisis atau kelumpuhan atau kehilangan kebolehan fungsi badan tertentu sama ada separa atau sepenuhnya. Fungsi-fungsi badan yang akan menerima kesan tersebut ialah seperti kehilangan ingatan atau kebolehan bercakap atau bertutur. Sebaliknya, sekiranya kecederaan berlaku pada bahagian kanan otak, kemungkinan paralisis akan berlaku pada anggota kiri badan. Di samping itu, gangguan akan berlaku pada persepsi visual dan seseorang tidak dapat membuat anggaran jarak yang tepat serta kehilangan ingatan terutamanya tujuan melakukan sesuatu atau mengambil sesuatu tindakan.


Secara umumnya, bahagian kiri otak memainkan peranan utama dalam pemprosesan bahasa, logik-matematik dan menyusun pembelajaran dalam urutan yang bermakna. Sebaliknya, bahagian otak kanan pula lebih tertumpu kepada ritma, muzik, visual, khayalan dan lain-lain yang tergolong dalam aktiviti kreatif.


Namun begitu, pengkhususan ini bukanlah secara mutlak. Ada masanya juga berlaku pertindihan fungsi antara kedua-dua otak. Dalam tugas harian, Sperry mendapati bahawa apabila situasi memerlukan respon cepat, hemisfera otak yang mendapat mesej terdahulu akan memberi respon terlebih dahulu. Secara realiti, otak akan berfungsi mengikut kaedah yang difikirkan paling sesuai.


Kecenderungan penggunaan hemisfera otak tertentu dikatakan dominan otak. Kebanyakan daripada kita lebih dominan dalam penggunaan otak kiri. Kajian menunjukkan bahawa 90% daripada manusia menggunakan tangan kanan. Manusia yang menggunakan tangan kanan lebih cenderung menggunakan otak kirinya yakni bahagian analitikal otak. Ini adalah kerana masyarakat dan sistem pendidikan lebih mengutamakan pemikiran otak kiri.


Kepentingan Otak : Kiri atau Kanan?

Persoalan yang mungkin timbul ialah : otak manakah (kanan atau kiri) yang lebih penting? Sebenarnya kedua-dua otak kanan dan kiri adalah sama penting. Walaupun kedua-dua hemisfera mendominasi aktiviti tertentu, kedua-duanya terlibat di dalam pemikiran dan pentafsiran maklumat pada masa yang sama. Orang yang cenderung menggunakan otak kiri lebih suka pentafsiran maklumat langkah demi langkah. Mereka juga digelar jenis pelajar atau pemikir linear. Mereka yang cenderung menggunakan otak kanan pula perlu melihat keseluruhan gambaran besar. Mereka digelar pemikir global.


Bagi contoh apabila kita mendengar lagu, otak kiri akan terfokus kepada lirik lagu manakala otak kanan akan memproses melodi lagu.


Malangnya, masyarakat dan pendidikan kita masih lebih mengutamakan penggunaan otak kiri yang dicerminkan dalam pembelajaran harian. Kebanyakan daripada aktiviti kerja mahupun pembelajaran di sekolah adalah dalam bentuk penulisan atau lisan. Kedua-dua aktiviti ini termasuk penekanan kepada subjek sains dan matematik adalah aktiviti otak kiri. Ketidakseimbangan ini boleh dibaiki dengan melibatkan aktiviti otak kanan seperti muzik, kesenian, imaginasi, gambaran dan lain-lain aktiviti otak kanan. Aktiviti otak kanan dapat membantu mengurangkan tekanan hidup atau kerja seseorang.


Ini dapat dijelaskan mengapa pengajaran guru dengan hanya satu nada sahaja, bukan sahaja tidak dapat mengekalkan tumpuan pendengarnya, ia juga tidak lama kekal dalam ingatan pendengar. Ini adalah kerana stail kuliah hanya mengaktifkan otak kiri. Sekira stail pengajaran dilanjutkan, cera pemikiran otak akan membentuk tabiat "malas" dan hanya menggunakan otak kiri untuk memikir.


Melalui pelaziman pendidikan dan pengalaman hidup, otak kanan semakin bertambah puas membiarkan otak kiri untuk respon kepada rangsangan. Tabiat ini seterusnya mungkin menghadkan cara kita menilai sesuatu perkara dan membuat keputusan dalam cara lama atau lazim. Dalam erti kata lain, tabiat ini akan menghalang potensi intuitif dan kreativiti otak kanan daripada berkembang maju.


Tabiat menyelesaikan masalah dengan menggunakan otak tertentu amat berguna sekiranya masalah yang hendak diselesaikan mempunyai persamaan dengan masalah yang pernah diselesaikan dahulu dengan jayanya. Namun begitu, bagi masalah baru kita akan cenderung menghadkan pemikiran kita kepada kebergantungan ke atas penyelesaian yang pernah diguna pada masa lepas. Kali ini, penyelesaian yang dipilih kemungkinan tidak sesuai.


Dalam keadaan ideal atau kedua-dua otak diguna secara seimbang, didapati otak kanan akan respon terlebih dahulu kepada muka atau imej visual berbanding dengan perkataan atau bahasa. Ini dapat menerangkan mengapa dalam proses berkenalan dengan orang baru, lebih mudah muka seseorang itu "didaftar" dan diingati daripada namanya. Apabila bertemu semula dengan orang yang sama, kita sering menyatakan "Saya pernah lihat orang ini walaupun saya tidak ingat namanya..."


Kita harus merangsang hemisfera otak khusus untuk memenuhi keperluan atau menyelesai masalah tertentu. Saiz otak kiri harus lebih besar secara fizikal atau lebih aktif daripada otak kanan. Ini adalah penting bagi pengusaan bahasa. Otak kiri yang lebih besar memungkinkan seseorang membeza antara jenis-jenis bunyi yang didengarnya secara jelas. Mereka boleh mendengar pasti setiap sebutan suku kata dan perkataan dengan jelas. Sebaliknya seorang kanak-kanak dyslexia atau yang mempunyai disorder bahasa akan mendengar bunyi perkataan bertindihan dan samar-samar. Ini disebabkan saiz kedua-dua otak kiri dan kanan terlalu seimbang.


Dengan memahami keistimewaan fungsi setiap otak, kita boleh memaksimakan kuasa mental sepenuhnya apabila sedar menggunakan kedua-dua belah otak secara harmonis dan seimbang. Orang yang menggunakan kedua-dua otak dikatakan lebih seimbang dalam segala aspek kehidupannya. Menurut Ornstein (1984), bahagian otak yang lebih "lemah" atau kurang dikembangkan boleh dirangsang untuk berfungsi serentak dengan bahagian otak yang lebih "kuat". Keseimbangan inilah yang boleh menghasilkan pemikiran yang paling tajam dan seterusnya meningkatkan pembelajaran dan penyelesaian masalah. Hasilnya, kita dapat lihat daripada pemajuan dalam prestasi pelajar secara signifikan. Apabila keseluruhan otak terlibat secara aktif, pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan cepat.

KELEBIHAN BERPUASA...

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.



  • Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

  • Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

  • Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

  • Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan (iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

  • Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-



PENERANGAN HADIS



  1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah. 
  2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
  3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai. 
  4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat. 
  5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
  6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
  7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
  8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
  9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
  10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
  11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

KEMBAR ????!!!!!

Sebahagian kecil wanita memang bernasib baik kerana mereka bukan sahaja boleh mengandung, tetapi kandungan itu kembar pula.


Kehamilan kembar berlaku sekali dalam setiap lapan puluh kehamilan. Kejadian ini biasanya berlaku secara spontan dan tidak siapa boleh mengawal kejadian ini. Tegasnya seesorang tidak boleh membuat apa-apa untuk menentukan kehamilannya kembar walaupun dia benar-benar inginkannya. Kelahiran kembar seringkali berlaku berulang kali dalam sesuatu keluarga. Dalam hal-hal lain, ia ada kaitan dengan keturunan bagi menentukan kejadian kehamilan kembar ini.


 
Mengapa Kehamilan Kembar Berlaku?

 
Dewasa ini dengan penggunaan ubat penyubur, kejadian kehamilan kembar dan berganda (multiple pregnancy) meningkat sedikit. Misalnya dengan menggunakan ubat penyubur clomiphene iaitu sejenis pil yang diberi kepada wanita yang kurang subur, kadar kejadian kehamilan kembar di kalangan mereka ialah lebih kurang empat hingga lima peratus. Dengan penggunaan ubat suntikan yang lebih kuat lagi iaitu hormon yang digelar gonadotrophin kejadian kehamilan kembar meningkat berganda lebih tinggi mungkin dalam lingkungan 20 hingga 30 peratus. Ubat pil penyubur clomiphene dan suntikan gonadtrophin ini kerap digunakan oleh doktor pakar di klinik pakar mandul dan klinik pakar ginaekologi.

 

Jenis Kembar

Kejadian kehamilan kembar dan berganda bergantung kepada bilangan benih yang dikeluarkan oleh pihak wanita. Pada kebiasaannya seseorang wanita hanya mengeluarkan satu benih sahaja dalam satu pusingan haid. Benih ini dikeluarkan pada pertengahan pusingan haid. Setelah persenyawaan berlaku menerusi percantuman antara benih lelaki dengan benih perempuan, embryo terbentuk. Jika dua benih perempuan yang dikeluarkan serentak, maka kedua-dua benih perempuan yang disenyawa menghasilkan dua embryo berlainan.

Pasangan kembar yang dihasilkan daripada satu telur, yang kemudiannya pecah untuk menghasilkan dua jasad akan menjadi pasangan kembar satu uri. Kembar yang dihasilkan begini biasanya mempunyai jantina yang sama, sama ada keduanya lelaki atau perempuan, rupa paras yang sama dan juga sifat dan perwatakan yang hampir-hampir sama. Manakala pasangan kembar yang dihasilkan dari dua telur atau non-identical twin biasanya mempunyai jantina yang berbeza iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan dan rupa paras, perwatakan dan sifat mereka tidak sama. Dalam kembar yang sama biasanya satu uri sahaja yang dihasilkan dan uri ini digunakan bersama oleh kedua-dua bayi ketika dalam kandungan. Manakala dalam pasangan kembar yang tidak sama uri biasanya ada dua, satu bagi setiap bayi.

Identical twin dari satu embryo kebanyakan menjadi dua insan (lengkap) sama rupa,, jantina, dan lain-lain.

Kembar siam juga dari identical twins tetapi menghadapi masalah pembandingan anggota kepada dua daripada satu embryo. Dengan ini kedua jasad tidak berpisah seluruhnya tetapi sebahagian daripada anggota mereka ini akan berganding atau terbendung. Bahagian anggota yang mungkin terbendung ini berbeza antara satu pasangan kembar siam dengan yang lainnya. Ada yang berbendung di bahagian dadanya dengan berkongsi satu jantung, ada pula yang berbendung di bahagian abdomen iaitu berkongsi satu tali perut sahaja.

Pembedahan untuk memisahkan kembar siam, biasanya hanya dilakukan pada kes yang berganding pada bahagian yang kurang penting seperti bahu atau punggung. Gandingan anggota penting seperti jantung, tali usus atau otak tidak boleh dibedah. Pernah juga tercatat dalam sejarah kembar siam ini terus hidup hingga ke akhir hayat. Mereka berbendung di bahagian tubuh. Kedua kembar ini mempunyai perwatakan yang amat berlainan dan setiap seorang mempunyai isteri dan keluarga sendiri. Mereka bergilir-gilir menjalankan tugas masing-masing. Akhirnya apabila seorang mati, kembar yang kedua juga mati.

Melahirkan anak kembar adalah satu peristiwa yang sangat menggembirakan setiap ibu bapa. Kejadian ini boleh dianggap satu rahmat Tuhan kerana dia dikurniakan dua atau tiga orang anak sekaligus dalam satu kehamilan saja. Walaupun demikian, pada keseluruhannya kehamilan dan kelahiran hanya menghasilkan satu bayi sahaja. Beberapa masalah memanglah tidak boleh dielakkan apabila si ibu perlu menampung dua jasad dalam kandungannya. Ini bermakna perutnya menjadi lebih berat dan beban fizikalnya juga bertambah untuk membawa isi kandungannya ke sana ke mari.

 

Keperluan Zat Makanan

Ibu tersebut perlu menampung dengan lebih banyak lagi bekalan makanan yang berzat kepada bayi yang dikandungnya khususnya zat besi untuk membina darah dan vitamin asid folik.


Tegasnya, ibu perlu menambah mutu makanannya bagi tujuan itu. Pil zat besi dan asid folik mesti dan wajib dimakan oleh setiap ibu yang sedang mengalami kehamilan kembar. Jika tidak, ibu akan mengalami kekurangan darah kerana zat besi dan zat asid folik dalam tubuhnya akan diambil oleh bayi dalam kandungan untuk membina darahnya sendiri. Masalah kekurangan darah jika dibiarkan akan membahayakan serta mengancam nyawa ibu ketika kelahiran bayi kembar ini berlaku. Kejadian tumpah darah selepas bersalin lebih kerap berlaku di kalangan kembar berbanding dengan kelahiran tunggal.

Keadaan ini disebabkan oleh otot rahim menjadi kendur kerana rahim menjadi terlalu kembang untuk memulakan dua jasad. Begitu juga dengan luka di tempat uri itu melekat pada rahim.

Tempat ini biasanya berdarah sejurus selepas bayi dilahirkan dan selepas uri itu dikeluarkan. Seperti yang saya tegaskan kejadian tumpah darah selepas bersalin adalah satu sebab utama kematian ibu di Malaysia.


 
Gejala Kehamilan Kembar

Ibu yang sedang hamil kembar juga mungkin mengalami beberapa gejala lain seperti tekanan darahnya naik atau hypertension. Biasanya, ini disertai dengan bengkak kaki dan ‘kencing kotor’ iaitu air kencing mengandungi protein. Rangkaian tiga tanda ini kerap berlaku ketika hamil, terutamanya kehamilan kembar. Penyakit ini biasanya digelar toxaemia dan ia boleh melarat menjadi sangat terus sehingga menyebabkan sawan atau eclamptic fits.

Sawan adalah satu keadaan yang amat mencemaskan kerana ia boleh meragut nyawa seseorang ibu. Oleh itu penting bagi semua ibu mendapat jagaan yang sewajarnya ketika hamil dengan melakukan pemeriksaan di klinik untuk menentukan tekanan darah, air kencing, timbang berat dan keadaan bayi yang dikandungnya. Ini bertujuan untuk menjauhkan segala gejala dan bencana yang mungkin menimpa ibu hamil, khususnya ibu yang sedang hamil kembar.


 
Kelahiran Prematur

Ibu yang hamil kembar juga sering diancam oleh masalah kelahiran tidak cukup bulan. Seringkali kelahiran berlaku di peringkat lapan bulan atau lebih awal daripada itu. Ini kerana rahim menjadi kembang dan amat besar dan ia tidak berupaya untuk mengembang lebih besar lagi pada peringkat itu. Oleh itu sesetengah doktor menasihatkan ibu supaya berehat di hospital sebaik sahaja kehamilan meningkat lapan bulan sehinggalah dia melahirkan anak. Dengan berehat di hospital, masalah sakit bersalin awal dan tekanan darah tinggi mungkin boleh dielakkan atau dikawal rapi. Sayangnya, ramai wanita sukar dinasihatkan supaya masuk hospital, khususnya mereka yang datang dari luar bandar. Demi kesihatan, keutamaan yang sewajarnya patutlah diberikan untuk menjauhkan malang yang tidak berbau.


 
Kelahiran Di Hospital

Setiap kelahiran kembar patutlah dilakukan di hospital yang terdapat berbagai-bagai kemudahan jika berlaku sebarang masalah dan kerumitan. Kedudukan bayi dalam rahim seringkali tidak normal, adakalanya songsang atau melintang. Kelahiran bayi yang sulung biasanya jarang menimbulkan masalah tetapi kelahiran yang kedua seringkali menimbulkan kerumitan. Jika tidak dikendalikan dengan betul mungkin tangan bayi yang kedua akan keluar dahulu. Ini tentulah menimbulkan masalah kerana dalam keadaan songsang atau melintang, bayi ini mungkin perlu dilahirkan dengan pembedahan sesarean. Sebaik-baiknya semua kelahiran kembar patutlah dikendalikan oleh doktor pakar yang terlatih dalam bidang ini.


 
Ancaman Kepada Bayi

Bayi kembar menempuhi lebih banyak rintangan dan ancaman pada peringkat awal kehidupan sehingga umur sebulan. Kadar kematian bayi kembar lebih tinggi berbanding dengan kelahiran bayi tunggal. Tidak cukup bulan dan tidak cukup timbang berat adalah di antara sebab utama kematian bayi. Kerumitan dan kesukaran ketika kelahiran juga merupakan satu sebab mengapa kadar kematian kembar lebih tinggi. Biasanya, dalam kelahiran kembar ini, bayi kedua adalah lebih terancam daripada bayi pertama.

Bagi kembar siam, penting disahkan kehamilan itu sebelum kelahiran berlaku kerana kembar siam tidak boleh dilahirkan melalui cara biasa. Ia perlu dilahirkan menerusi pembedahan. Pengesahan ini biasanya didapati dengan melakukan X-ray pada peringkat akhir kehamilan dan daripada gambar ini beberapa tanda boleh dikesan untuk mengesahkan kejadian kembar siam. Walaupun demikian, perkara ini tidak perlu dibimbangkan kerana ia sangat jarang berlaku.

Jagaan bayi kembar juga merupakan satu cabaran kepada ibu dan bapa. Menjaga seorang bayi kadangkala boleh menimbulkan kekecohan, bagaimana pula menjaga dua orang bayi yang amat kecil dalam satu masa. Walaupun demikian, bantuan dari ahli keluarga lain bolehlah didapati khususnya dari ibu sendiri atau ibu mertua yang telah banyak pengalaman.